By: Zamri Ibrahim (Malaysia Airlines, Customer)
Salam sejahtera,
Dua hari lepas bagasi anak saya yang menaiki penerbangan dari London ke Kuala Lumpur dan terus ke Kota Bharu telah tercicir / tidak tiba di KB pada pagi 28 Jun 2010. Selepas membuat aduan di kaunter Khidmat Pelanggan di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, kami menunggu berita tentang bagasi tersebut.
Selepas jam 5 petang hari tersebut, tiada langsung berita yang disampaikan kepada kami dari KB, dalam rasa yang agak kecewa, terus saya hubungi Bahagian Khidmat Bagasi di Lapanganterbang KLIA dan menyatakan rasa kecewa kepada seorang staf di bahagian ini yang bernama Encik Mahadi berkaitan masalah yang dihadapi. Amat mengkagumkan saya, kerana walaupun perasaan kecewa saya luahkan dalam nada yang agak tinggi, beliau begitu tenang mendengar dan berjanji akan mengambil kes ini dan mencari bagasi yang tercicir sebaik mungkin. Beliau juga menghubungi saya 2 kali dalam tempoh beberapa jam untuk memaklumkan sebarang perkembangan, dan berjanji akan menghubungi saya lagi keesokan hari selepas masuk kerja jam 3 petang.
Pada 29 Jun jam 4 petang, En Mahadi memaklumkan bagasi telah ada di KB, dan menerangkan kesilapan tagging / coding yang berlaku di London yang menyebabkan masalah. Saya amat bersyukur bukan saja kerana bagasi tersebut telah diperolehi semula, tetapi kerana Bahagian Khidmat Bagasi di KLIA mempunyai staf yang amat berdedikasi seperti Encik Mahadi, yang begitu komited membantu pelanggan. Terima kasih dan tahniah.
Untuk makluman, saya juga ada sarankan kepada Encik Mahadi supaya jika boleh mencadangkan kepada pihak pengurusan mengkaji penggunaan sistem teknologi yang lebih canggih dalam urusan bagasi, contohnya penggunaan RFID bagi menggantikan sistem barcode. Pengesanan tag RFID saya jangka adalah lebih efisien dalam menangani urusan bagasi terutama dalam menjejak bagasi yang hilang.
Walau apa pun, terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada Bahagian Khidmat Bagasi, terutama Encik Mahadi yang telah membolehkan bagasi anak saya diperolehi kembali. Khidmat yang diberikan amat bermakna bagi kami.
ZAMRI IBRAHIM Pensyarah, Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia 16150 Kubang Kerian, Kelantan |